Anwar ancam siapa? Integrasi yang gagal, lelonglah Umno hai Ghaffar Thursday, May 12 @ 10:56:13 MYT
I. Anwar tetap jadi ancaman walaupun berada di luar?
APAKAH malangnya nasib Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim walaupun duduk di luar negara tetap dicemburui oleh pemimpin-pemimpin Umno khususnya.
Teman pun macam nak garu kepala memikirkannya. Tak cukup lagi ke? Anwarkan telah diterjelepukkan jatuh dengan sehina-hina umat suatu ketika dahulu. Dan walaupun dia sudah bebas dari belengu penjara selama enam tahun bukannya dia boleh berpolitik sehingga tahun 2008.
Teman nak beri ingatan kepada pemimpin-pemimpin Umno. Mereka semua yang bersubahat dengan Mahathir menjatuhkan Anwar. Dengan sokongan pemimpin Umno semua juga Anwar dihalang berpolitik sehingga 2008.
Jadi apa yang sebenarnya mereka semua risaukan? Lainlah kalau mereka masih takut dengan bayang-bayang sendiri.
Namun teman percaya dan teman rasa ramai juga pemimpin Umno yang takut kepada bayang-bayang sendiri itu juga percaya bahawa Pak Sheikh tidak akan duduk diam tanpa merancang sesuatu sekurang-kurangnya untuk menebus maruah beliau.
Apa rancangan Pak Sheikh, apa yang hendak dibuatnya teman tak lah berapa tahu. Tetapi apa yang teman difahamkan, Pak Sheikh konsisten membangkitkan isu-isu rasuah yang dikaitkan dengan pemimpin tertentu dalam negara.
Secara logiknya, orang yang kuat rasuah tentunya mereka hidup kaya raya. Jika mereka kaya, sudah tentu mereka ada banyak duit dalam bank. Jika mereka takut rakyat tahu mereka banyak wang dalam bank, tentunya mereka menggunakan proksi atau menyimpan wang di luar negara.
Kerja menyimpan wang di luar negara sebenarnya bukan perkara baru. Ianya telah diamalkan oleh ramai pemimpin-pemimpin banyak kerajaan yang korup dalam dunia.
Nak tahu siapa yang paling korup, mereka itu adalah pemimpin politik yang menggunakan kuasa mereka untuk memperkayakan peribadi dan menyimpan berguni-guni wang.
Teman ada dengar bisik-bisik kawan-kawan yang rapat dengan Pak Sheikh yang beliau sedang mengumpul data mengenai siapa pemimpin yang paling korup dalam Malaysia. Teman fikir juga, senang ke nak dapat maklumat? Tapi kawan tu kata bukan ke 'sahabat karib' Anwar (Paul Wolfowitz) dah jadi Pengerusi Bank Dunia? Eh? Betul juga. Lagi senang dia 'access' untuk lebih 'tahu' siapa yang kumpul wang di luar negara.
Teman – Mari kita lihat siapa yang kena!
II. Apabila Anwar pulang
PADA 1 Mei lalu berlangsunglah suatu program besar di ibu negara, khusus untuk membincangkan proses pengampunan Anwar Ibrahim dari sudut undang-undang, dengan pembentangan kertas kerja oleh peguam terkenal Christopher Fernando.
Proses pengampunan dipohon kepada Majlis Raja-Raja Melayu (MRR) agar mantan TPM diberikan kelonggaran untuk bergerak aktif dan bebas berpolitik tanpa sebarang sekatan undang-undang dalam sistem demokrasi di negara kita yang tercinta ini.
Yang uniknya pada teman, program pengampunan ini tidak dibuat, tidak disertai dan tidak dirancang oleh mana-mana parti politik pembangkang yang mendukung perjuangan Anwar, ia adalah hasil usaha golongan professional dan NGO.
Namun teman faham, bukannya parti politik tidak mahu Anwar bebas sepenuhnya. Ini kerana pada mereka, mereka konsisten bahawa Anwar tidak bersalah dan tidak perlu meminta pengampunan!
Dalam masa yang sama, mereka juga tidaklah pula nak halang kalau mana-mana pihak berusaha untuk membebaskan Anwar sepenuhnya demi kebaikan negara.
Teman diberitahu oleh kawan-kawan, ada banyak usaha mendapatkan pengampunan sama ada yang melalui MRR Melayu, golongan bangsawan dan cendikiawan, mahupun golongan politik atasan sedang giat dijalankan.
Ada kawan teman, bekas Timbalan Menteri yang baru dipecat daripada Umno memberitahu, “I fikir ramai orang yakin Anwar akan dapat pengampunan.”
“Apa asas Dato',” tanya teman. “I dah usaha mendekati Istana, I fikir Istana tidak jadi halangan besar, malah Pak Lah (PM) sendiri pun tidak ada halangan,” ujarnya penuh yakin.
“Tapi yang I dengar, yang bimbang sangat dengan Anwar adalah Najib (TPM), dia takut Anwar,” sambungnya lagi.
Teman tak tahu lah apa asasnya Dato' itu menjelaskan demikian, dia ada cerita panjang lebar, namun belum masanya untuk teman dedahkan. Dia duduk dalam Umno sekian lama, dia tahu apa yang berlaku luar dan dalam.
Pada teman, pendukung dan pejuang reformasi dalam negara, akan terus berdoa ke hadrat Allah dan berusaha agar Anwar diampunkan untuk kembali 'bertarung di gelanggang politik'. Bak kata sinis teman Husam Musa, “You (BN) ikat tangan kita, lepas tu you suruh berenang, mana boleh.”
Kalau pemimpin-pemimpin Umno merasakan mereka 'anak jantan', mereka tidak perlu takut kepada Anwar. Kalau kuat marilah kita 'beradu tenaga'. Kalau takut, 'simpan sahaja apa yang ada tu' di dalam muzium!
Teman – Hairan banyak orang dakwa dia kuat, tapi penakut!
III. Gagalnya BN pupuk integrasi kaum
ISU pendidikan dalam negara kita ini dah 'caca marba' dibuat dek BN. Kalau dulu Mahatir 'memaksa' mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris (BI) walaupun ditentang hebat oleh pada cendikiawan dan kaum pendidik Melayu.
'Kononnya' dengan menggunakan bahasa penjajah, bangsa Melayu akan lebih maju dan mencapai tahap intelek yang tinggi. Akibatnya ramai anak-anak orang Melayu gagal dan tercicir kerana dua subjek tersebut tidak diajar dalam bahasa ibunda mereka.
Masalah mereka bukan tidak pandai Sains dan Matematik, tetapi dasar pendidikan negara gagal mengajar BI sebagai bahasa kedua untuk dikuasai sejak dulu lagi. Bila dah pening baru PM kata kerajaan akan kaji 'ulangkaji Sains dan Matematik' dibuat dalam Bahasa Melayu. Ini apa punca cerita?
Teman pun teroponglah ke Timur, teman tengok kawan-kawan di Jepun dan Korea yang amat maju dari pelbagai aspek sama ada sains, teknologi dan aero angkasa, 'sepatah harampun' tak guna BI dalam silibus mereka. Macam mana Mahathir fikirpun teman tak faham.
Sekarang ini pula PM, nak perkenal bahasa Tamil dan Mandarin di Sekolah Kebangsaan (SK). Kononnya boleh menjana integrasi kaum iaitu yang Melayu lebih mudah berinteraksi dengan bukan Melayu manakala kaum India dan Cina akan lebih faham.
Mungkin juga Abdullah berniat baik sewaktu mengumumkan hasrat kerajaan untuk tujuan tersebut. Namun pada teman PM harus menoleh ke belakang tentang kegagalan dasar pendidikan yang selepas 48 tahun merdeka, kaum Cina dan India masih gagal berinteraksi dalam Bahasa Melayu dengan baik.
Malah ada terdapat di kalangan Menteri dan anggota kerajaan sendiripun yang masih 'tergeliat lidah' bila bertutur dalam Bahasa Melayu. Mereka tak maluke bila rakyat melihat mereka bertutur dengan pelat?
Di mana-mana sahaja kita boleh jumpa 'apek', 'aya', nyonya, 'aci', 'minaci' dan sebagainya yang 'beranak' di Malaysia, bersekolah di Malaysia, dalam masyarakat majmuk, tetapi masih gagal bertutur Bahasa Melayu dengan baik.
Bukan untuk fasih pun, untuk berinteraksi jual beli pun, kadang-kadang mereka terpaksa menggunakan juru bahasa! Sehingga kita, orang Melayu pun kadang-kadang terikut-ikut dengan cara mereka bertutur.
“Apek, lu ini balang birapa punya halga? Ooohh..tatak mahai lo, ini ampat linggit saja maa. Wa sulah tiga pulu taun sini niaga wo, kita sama ini macam punya kawan, wa talak juai mahai wo.”
Justeru pada teman, dialog ringkas yang teman paparkan ini, bukan benda baru dan terjadi kepada sesiapa jua. Kerajaan harus melakukan sesuatu bagi memupuk integrasi kaum dengan memastikan kaum Cina dan India boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik terlebih dahulu sebelum membawa lain-lain bahasa ke meja SK.
Teman – Tak mahu bangsa Melayu jadi macam luncai.
IV. Bila Umno hendak dilelong?
TEMAN pun macam percaya tak percaya apabila pemimpin veteran Ghafar Baba mencadangkan agar pertandingan merebut jawatan dalam Umno dibuat secara lelong.
Walaupun teman tak pasti apa tujuannya, namun teman percaya, sebagai negarawan ulung yang disanjungi oleh orang-orang Umno, sudah tentu bercakap apabila bercakap dalam majlis terbuka seperti di Kota Bharu baru-baru ini dibuat dengan penuh sedar dan berhati-hati.
Ada kawan teman bekas anggota Umno yang bergiat dalam Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) menelefon teman malam semalam memberitahu banyak teguran keras bekas TPM itu dikhususkan kepada Umno dibawah kepimpinan Abdullah Badawi.
Kawan teman bagi tahu, “Pak Ghafar kata, 'Umno mana ada ahli 4 juta orang, itu semua tak betul tuan-tuan.'
Ghafar juga kata, yang Setiausaha Agung Umno umumkan Umno ada ahli 4 juta orang itu adalah berdasarkan jumlah yuran (RM1 seorang) ahli yang diterima sebanyak RM4 juta.
“Semua orang tau Ketua Bahagian yang bayar wang tersebut,” ceritanya mengajuk kata Ghafar.
Teman pun saja nak jolok, “Ghafar pun apa kurangnya, dulu masa duduk dalam kerajaan, dia umum (projek) sana juta, sini puluh juta, situ ratus juta, meliun-meliun (pinjam cara Ghafar cakap million).”
“Sekarang buat apa nak marah bila orang lain ikut macam dia jugak,” kata teman sinis.
“Ish you ni, itu dulu, sekarang ni lain,” katanya tak mau mengalah.
Entah apakan gerangan yang mendorong Ghafar bercakap mengkritik Umno teman tidak pasti. Namun teman agak mungkin beliau begitu kecewa dengan masalah politik wang yang menular dengan begitu serius dalam Umno.
Sebagai pemimpin nasionalis Melayu barangkali ada asasnya juga jika beliau bimbang kepimpinan Umno masa depan ditentukan oleh duit bukannya kesedaran perjuangan bangsa.
Mungkin kalau parti teman yang 'kritik' orang Umno tak nak peduli, tapi kalau bekas pemimpin yang masih aktif bersuara, mesti ada sesuatu yang tidak kena sehingga Ghafar tergamak nak cadangkan jawatan Ketua Bahagian dan Naib Presiden dilelong. Kalau nak bagus lagi, teman cadang, depa lantik Pak Ghafar jadi tukang lelong.
Teman – Pada Pak Ghafar teman nak tanya, jawatan Presiden dan Timbalan nak dilelong berapa beliun (billion)?
Harga petrol naik, umat Islam harus berganding bahu
Harga petrol naik, umat Islam harus berganding bahu
Harga petrol dan diesel naik lagi pada 5 Mei yang lalu. Saya hanya berfikir sejenak, untuk saya sekeluarga dengan pendapatan yang sederhana ini walaupun ianya akan memberi kesan dengan kenaikan barangan keperluan lain, namun kami masih boleh bertahan dengan berjimat cermat mungkin belum sampai ke tahap mengikat perut.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana dengan keluarga yang ketua keluarganya yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bagaimana pula dengan ketua keluarga yang mempunyai anak yang ramai , bekerja hanya sebagai operator kilang dan menunggu masa pula untuk diberhentikan kerana operasi kilang berkenaan tidak semaju dahulu lagi.
Semua persoalan ini terjawab pada hari yang sama juga. Pada malamnya saya didatangi oleh seorang kenalan, dia mengatakan isterinya yang menderita sakit sejak sekian lama kini sedang mendapat rawatan pakar di HUKM. Memandangkan isterinya belum mendapat taraf permastautin tetap maka segala caj-caj bayaran di hospital tersebut ialah dua kali ganda serta dikenakan deposit RM 1000. Kenalan saya ini bekerja sendiri, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dia menganggarkan kos rawatan adalah sekitar lebih RM 2000. Dia bertanyakan di mana dia boleh mendapatkan sumbangan untuk meringankan bebannya. Disebabkan masa yang suntuk maka saya pun memberitahu beberapa sahabat lain agar kita membantu kenalan saya tadi.
Keesokannya pula hari Jumaat ketika saya hendak mengambil anak-anak saya di sekolah, sekali lagi saya didatangi oleh kenalan yang lain pula. Juga dengan muka yang sedih dan tak bermaya, dia bertanyakan bagaimana dia hendak merayu kepada sekolah berkenaan agar yuran-yuran sekolah yang tertangguh sejak sekian lama dapat dibayar dengan cara beransur-ansur atau dipertimbangkan untuk dikurangkan memandangkan suasana pekerjaannya yang tidak tetap. Kilang perabot tempat dia bekerja , kadang-kadang beroperasi , kadang-kadang ditutup. Taukeh kilangnya pula sekarang ini dikejar “Along” kerana membuat pinjaman sebagai pusingan modal kerana pembayaran yang lambat dari sektor kerajaan dan swasta. Hutang yuran persekolahan anak-anaknya sejak sekian lama mencecah lebih RM 2,000. Saya hanya terdiam sekali lagi, saya tidak menjanjikan apa-apa.
Saya harus berbincang dengan rakan-rakan saya dalam Yayasan Amal Malaysia bagaimana untuk membantu begitu ramainya orang susah yang kita tidak kenali selama ini, tetapi mereka berada di sekeliling saya. Orang yang susah di sekeliling kita , mereka ini tidak meminta-minta, mereka lebih reda mengikat perut, makan nasi berlaukkan garam kerana mereka reda dengan ujian yang Allah berikan Sedangkan ada dikalangan kita yang hidup sederhana dan mewah, ada kereta, ada rumah, ada simpanan Tabung Haji, tidak risau esok sekeluarga hendak makan apa, malah sentiasa merancang esok hendak makan restoran mana, minggu hadapan hendak melawat mana, tetapi meminta-minta untuk mendapat pinjaman buku teks, merayu-rayu hendak dapatkan tanah tol, merayu-rayu untuk dapatkan biasiswa anak dan sebagainya sedangkan ramai lagi yang lebih berhak untuk mendapatkannya, tambahan pula dengan kenaikan harga petrol dan kenaikan barangan keperluan asas yang lain.
Sebelum ini rakan saya memberitahu beliau secara sukarela mengadakan kelas bimbingan UPSR untuk pelajar-pelajar lemah di salah sebuah kawasan rumah pangsa di Seremban. Menurut beliau ramai anak-anak Melayu di sana keciciran dalam pelajaran mereka lebih-lebih lagi dalam matapelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam Bahasa Inggeris. Sekali lagi Yayasan Amal sedang mengusahakan untuk mencari guru-guru sukarela untuk membantu anak-anak Melayu dari kalangan keluarga yang susah ini.
Minggu sebelumnya pula kami didatangi oleh keluarga yang anak mereka kini sedang berada di penjara tetapi perlukan guru bimbingan memandangkan anak mereka akan menduduki peperiksaan STPM pada tahun ini. Sekali lagi dengan sumber yang terhad kami berusaha untuk mencari guru-guru sukarela untuk membantu anak bangsa mereka sendiri.
Kenaikan harga petrol dan barangan keperluan lain seharusnya merapatkan lagi persaudaraan di kalangan umat Islam di Malaysia ini. Ianya sepatutnya merapatkan ukhuwwah antara yang kaya dan yang miskin, yang mewah dengan yang memerlukan, antara pengarah syarikat dan anak buahnya, antara majikan dan pekerja. Sekiranya kita ada duit simpanan yang beribu-ribu atau mungkin berjuta-juta, tangguhkanlah dahulu cita-cita untuk menukar kereta baru, sedangkan kereta yang sedia ada masih elok lagi bak kata orang Negeri Sembilan tak “nyonyeh lai”. Sekiranya kita ada rumah banglo tangguhkanlah dahulu untuk di tambah lagi.
Jika selama ini kita sanggup berpusu-pusu membantu mangsa Tsunami baik dalam negara mahu pun di Acheh. Bantulah pula orang disekeliling kita yang mereka ini kita tidak kenal, makan nasi berlaukkan garam. Sekiranya kita ini hidup seperti katak di bawah tempurung, tidak kenal siapa yang susah walaupun mereka ini jiran tetangga kita, carilah badan kebajikan atau pertubuhan bukan kerajaan di sekiling kita yang didatangi hampir setiap masa oleh mereka yang memerlukan bantuan.
Sekiranya mereka yang susah ini terutama yang rapat dengan kita, jiran kita, saudara kita tidak dibantu, kelak ianya akan memakan diri kita sendiri kerana anak-anak mereka yang kesempitan hidup ini tidak mustahil untuk terlibat dalam gejala yang tidak sihat. Sebagai umat Islam kita harus sentiasa ingat bahawa segala kemewahan yang ada pada kita, simpanan Tabung Haji kita, simpanan KWSP kita, saham-saham kita, semua itu adalah milik Allah kesemuanya. Allah boleh menarik balik nikmat yang diberikan dalam sekelip mata.
ROZMAL MALAKAN
PLKN: Ahmad Hafizal - disebalik Shahidan Kassim bawa lari
PLKN: Ahmad Hafizal - disebalik Shahidan Kassim bawa lari Artikel Oleh : Laduniseven
Assalamualaikum wmbt; Bukan untuk menjadi hero atau untuk menangguk di air keruh kisah Shahidan Kassim membawa PLKN adik Hafizal Ahmad dan keluarganya menginap di hotel adalah di sebabkan tindakan pantas Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat ( PKR ) Merbok Saudara Mustaffa Khalid sebaik sahaja menyaksikan berita TV3 pada malam itu terus mengerahkan Setiausaha Perhubungan PKR Kedah Saudara Zamil untuk menghulurkan bantuan dan membayar denda tersebut.
8.30 malam Saudara Zamil telah berada di lokasi rumah Puan Noraini di tepi parit dan rumah dinding tidak berplaster itu, telah memaklumkan kehadiran dan kedatangan beliau mewakili Parti Keadilan Rakyat Malaysia Kedah untuk memberi bantuan sewajarnya bagi pembebasan adik Hafizal. Dalam masa yang sama pihak SB telah menghidu dan wakil Shahidan Kassim yang mengaku bapa saudara Hafizal telah sampai dimana lantaran itu Puan Noraini telah meminta di beri masa satu jam untuk berunding dengan UMNO. Lanjutan daripada itu UMNO telah mengambil tindakan untuk menghalang daripada berjumpa dengan Saudara Zamil dan membawa ibu dan keluarga Hafizal untuk bermukim di sebuah hotel. Dan perkara ini telah di maklum balas kepada Saudara Mustaffa Khalid.
Tindakan Saudara Mustaffa Khalid berdasarkan kepada kepayahaan ibu dan keluarga Hafizal untuk datang ke Penjara Sungai Petani di atas penginayaan mangsa PLKN dan keluarganya yang miskin. Dan kehadiran Saudara Zamil adalah untuk membawa ibu dan keluarga Hafizal tinggal di Sungai Petani memandangkan beliau akan menjalani hukuman di Penjara Sungai Petani.
Seawal paginya Saudara Mustaffa Khalid, Saudara Mokhtar dan wakil PAS telah berada di hadapan pintu masuk Penjara Sungai Petani yang bersebelahan Hospital Besar Sungai Petani untuk menanti ketibaan adik Hafizal. Ketika itu juga pihak polis IPD Sungai Petani telah di kejarkan ke penjara bagi memantau kehadiran BA di situ. Penguasa Penjara kemudiannya memaklumkan bahawa adik Hafizal tidak akan di bawa ke Penjara Sungai Petani memandangkan UMNO dan wakil Shahidan Kassim telah menahan tindakkan penyerahan tersebut kerana hendak menjelaskan denda yang telah di jatuhkan bagi pembebasan adik Hafizal. Dan ini di lakukan sepertimana yang kita lihat di kaca TV dan akhbar hari ini.
Tindakan Saudara Mustafa Khalid bukan WHO WANTS TO BE A HERO tetapi di atas sikap perihitin dan prinsip kemanusiaan di atas kesusahan, kepayahan serta penindasan ke atas golongan tidak berdaya akibat sistem perundangan negara yang tercela, jijik kerana kerakusan UMNO tanpa batasan contoh ketara kenapa pihak polis tidak mengari penjenayah Eric Chia hanya di sebabkan dia kaya dan berkedudukan serta mempunyai pengaruh? Alasan Peguam Negara dan pihak polis takut pesalah lari adalah sebagai bodoh dan remeh. Samalah juga tindakan UMNO tidak membenarkan BPR campur tangan politik wang dalam UMNO! UMNO mesti ingat kalau dia itu ahli UMNO tidak bererti bahawa orang lain adalah 2nd class citizen. UMO sekarang ini sedang menghadapi krisis mental yang sirius. Kita sedang menghadapi suasana kebodohan UMNO untuk di ambil pakai sebagai satu cara kehiudupan termasuklah memaksa orang Islam supaya mengitiraf Islam Hadhari! Inilah bahaya yang sedang di alami oleh umat Islam di negara ini sekarang ini termasuklah Laknattullah Astora Jabat! Setiap hari Ahad kita di paksa membaca Kitab Astora Jabat! Jangan tak baca! Macam macam fatwa ada! Kenapa tidak ambil tindakan. Sampai Mufti pun bacul sudah tidak dapat membezakan syariat Islam. Hendak kemana kamu bila hak Allah di letakkan di no 2? Mufti apa?
Betapa lucahnya sistem perundangan kita apabila UMNO memainkan isu PKLN adik Ahmad Hafizal ini sebagai untuk melindungi kelemahan dan sikap kemanusiaan yang kian di lupakan dan di cemari. Tengok sahaja kes Jeslina, kes seorang Imam Masjid Besar Taiping yang di tangkap bersama 15 orang lain kerana berkahlwat, boleh depa jawab "kami tak salah kalau berdua-duaan"! Denda Ahmad hafizal pula RM600.00. Persoalannya orang yang berduit RM600.00 tidak menjadi tahi gigi untuk membayarnya, tapi bagi adik Ahmad Hafizal, hendak datang ke Mahkamah pun minta duit dekat emaknya RM7.00, inikan hendak bayar denda? Sedangkan PKR di maklumkan terdapat 50 orang lagi yang gagal ke PLKN tidak di dakwa dan tidak di hadapkan ke muka pengadilan di Perlis? Apa Shahidan Kassim buat? Soal dia tidak memberi atau membuat surat rayuan kerana tidak menjawab panggilan PLKN, UMNO kena pakai otak sikit! Budak tercicir sejak Tingkatan 2 lagi kerana tidak mampu dan hendak memberi laluan kepada 2 lagi adiknya kenapa Mejistret berkenaan tidak pakai otak sedangkan budak yang lain pihak polis suruh ketuk ketampi 1000 kali saja? Ini bukan main-main. Engkar PLKN hendaklah di ambil tindakan ke atas kesemuanya saksama tidak ada beza. Sama jugalah Pak Lah berbuih kece nak hapus rasuah? Berani ka? Gempaq saja lebih! Kejut keling aje! Kita hendak TPM Najib mengeluarkan satu kenyataan berapa ramaikah yang akan di dakwa lagi tanpa mengira darjat. Dan kita akan pantau. jangan hanya pandai tutup sebelah mata sahaja dan menjadikan kes adik Ahmad Hafizal sebagai idola untuk menunjukkan kepada rakyat betapa UMNO begitu ambil berat terhadap nasib seorang rakyat! Turun harga minyak dulu! kemudian kita kira lain! Ini orang ada duit boleh main-main denagn perundangan negara. Hukum Allah ke atas orang Islam nyata dan jelas, bukannya hukum Islam Hadhari, kes Jeslina boleh letak tepi, Mufti boleh loncat bila punggong kena jolok, tok imam boleh kata salahkah kami berkhalwat? Celaru! UMNO kini semakin celaru dari segi agama, soal kehidupan dan kemanusiaan serta kepimpinan umah.
wasallam laduniseven@syedjohari_y@ yahoo.com
Kerajaan perlu terima kritikan penuhi kriteria 'negara Islam' - Ghaffar
Kerajaan perlu terima kritikan penuhi kriteria 'negara Islam' - Ghaffar Thursday, May 12 @ 15:15:19 MYT
PASIR MAS, 12 Mei (Hrkh) – Bekas Timbalan Perdana Menteri berharap kerajaan bersedia mendengar setiap kritikan pemimpin pembangkang bagi memastikan kriteria sebenar Malaysia sebagai sebuah negara Islam ditepati.
Tun Ghaffar Baba berkata, kerajaan sepatutnya mendengar dengan ikhlas setiap teguran dibuat pembangkang terutamanya PAS mengenai konsep tersebut.
“Wakil-wakil rakyat PAS yang ada di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen boleh menggunakan peluang sebagai ahli dewan bagi mengemukakan teguran kepada kerajaan bagi memenuhi kriteria sebenar sebagai sebuah negara Islam.
“Manakala kerajaan pula patut mendengar dengan ikhlas segala teguran dan syarat-syarat dikemukakan bagi mencapai kehendak tersebut,” katanya pada ceramah sempena Sambutan Maulidur Rasul di Kampung Jabo, Chetok, malam tadi.
Program tersebut dianjurkan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK). Hadir sama Presiden MTRK, Dato’ Ibrahim Ali, bekas Adun Salor, Dato’ Ahmad Rusli Ibrahim dan Ketua Penerangan MTRK, Che Awang Che Mat.
Ramai penduduk tempatan hadir pada majlis tersebut, biarpun tidak mempunyai poster bagi memaklumkan program berkenaan. Penduduk keturunan Cina juga kelihatan hadir. Ia diakhiri dengan selawat beramai-ramai dan jamuan nasi bungkus.
Ghaffar yang juga bekas Timbalan Presiden Umno berkata, kerajaan perlu bersedia mendengar pandangan pembangkang bagi memenuhi kriteria sebenar sebagai negara Islam, setelah ia diisytiharkan Perdana Menteri sebelum ini.
“Biar pun ada negara lain sudah menerima pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, namun pandangan pihak yang belum berpuas hati mengenainya perlu diambil kira.
“Orang PAS masih belum menerima konsep tersebut dan mereka perlu mendedahkan segala kekurangan bagi memastikan pengisytiharan sebagai negara Islam diterima semua pihak,” ujarnya.
Menurutnya, kerajaan perlu mendengar dengan lebih terbuka segala pandangan diberi bagi menyesuaikan segala tuntutan sebagai sebuah negara Islam. Beliau juga berkata, Islam mampu berkembang di negara ini setelah mencapai kemerdekaan daripada cengkaman penjajah.
Sebaliknya kata beliau, negara Barat cukup tidak suka dengan kebangkitan Islam yang berlaku di seluruh dunia sekarang sehingga mereka sanggup bertindak ganas terhadap umat Islam.
“Amerika dan Barat menghancurkan negara umat Islam di Afghanistan dan Iraq dengan kekuatan senjata canggih yang mereka miliki. Bagaimanapun kita di Malaysia masih selamat.
“Persoalannya adakah agama Islam akan terus hidup atau mati. Ia perlu dijawab oleh orang Islam sendiri. Generasi muda juga perlu memikul tanggungjawab terhadap agama bagi mengelakkan ia dihancurkan musuh,” ujarnya.
Sebelum ini dalam temuramah dengan Harakah, Ghaffar mendedahkan beliau hanya mahu kepada Islam yang diturunkan Allah Taala dan tidak suka kepada penambahan nama lain.
Pada majlis yang sama beliau memberitahu membuat kunjung hormat kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di pejabatnya di Kota Darulnaim, petang semalam, biar pun mempunyai pandangan politik yang berbeza. “Saya hormat beliau dan beliau juga hormat kepada saya,” tambahnya.
Ghaffar juga mengulangi beliau masih sayangkan kepada Umno dan terus memberi sokongan kepada kerajaan yang ada hari ini.
Ahmad Rusli berkata, MTRK tetap memperjuangkan keadilan biar pun terpaksa bergerak ke hulu dan ke hilir.Malah katanya, majlis sambutan maulidur rasul diadakan MTRK bagi menjelaskan sesuatu mesej kepada rakyat.
Beliau juga mendedahkan pergolakkan dalaman berlaku dalam parti tertentu sekarang kerana mereka berebut mendapat tempat. - mj
Maksiat: Jawapan Mashitah yang menyerahkan kepada iman, kecewakan Zailah
Maksiat: Jawapan Mashitah yang menyerahkan kepada iman, kecewakan Zailah Thursday, May 12 @ 16:29:02 MYT
Oleh Salmiyah Harun KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Senator Siti Zailah Mohd Yusof kecewa dengan jawapan Setiausaha Parlimen Di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mashitah Ibrahim yang dilihatnya tiada komitmen terhadap kesan gejala maksiat masyarakat kini.
"Sebenarnya saya cukup kecewa dengan jawapan Setiausaha Parlimen Di Jabatan Perdana Menteri tentang pencegahan maksiat, apabila beliau menyatakan bahawa terserah kepada iman masing-masing terhadap apa-apa program hiburan yang dianjurkan kerajaan," katanya semasa ditemui di lobi Parlimen.
Beliau berkata jawapan itu menunjukkan pengabaian tanggungjawab pemerintah terhadap rakyat.
Katanya, sepatutnya pemerintah bertanggungjawab terhadap rakyat seperti seorang bapa ke atas anaknya.
"Dia (kerajaan) bertanggungjawab memastikan segala programnya memberi kebaikan kepada rakyat, bukannya mengundang keburukan," katanya.
Jelasnya, sekiranya program itu bercanggah dengan prinsip moral dan nilai, sewajarnya kerajaan tidak meluluskan permit atau lesennya.
"Apa yang berlaku hari ini kita lihat sesuatu yang bercanggah kerana terdahulunya kerajaan mahukan kepada ketakwaan dan keimanan dalam prinsip Islam Hadharinya, tetapi dari sudut lain kerajaan memberi lesen dan permit kepada program-program hiburan yang bercanggah dengan Islam," tegasnya.
Katanya, ini seolah-olah satu tangan menghidangkan madu dan satu tangan lagi menghidangkan racun kepada rakyat.
Terdahulu, Siti Zailah mencelah semasa jawapan Dr Mashitah, mempersoalkan di manakah ketegasan kerajaan dalam mengawal kemungkaran yang berlaku terhadap rakyat misalnya kerajaan begitu mudah meluluskan permit hiburan membabitkan artis Indonesia, Inul, baru-baru ini. – lanh
Lima asas Islam untuk menjaga moral manusia Oleh Dato' Dr Haron Din
Gambar Besar ISU perlaksanaan undang-undang Islam 'ala kadar' yang sedang berkuatkuasa sekarang ini oleh Majlis-majlis Agama Islam dan Wilayah, yang akhir-akhir ini timbul penentangan terhadapnya bukanlah suatu itu yang baru.
Isu ini juga bukannya isu remeh yang hanya sekadar menjadi 'bahan heboh' oleh media massa seketika dan kemudiannya hilang. Mungkin isu ini akan timbul dan hilang lagi kemudiannya.
Isu yang timbul dan menjadi perbualan hangat media massa arus perdana dan telah dijadikan tajuk utama Harakah keluaran lepas, sepatutnya menjadi agenda bertindak semua pihak yang sedar tentang pentingnya mempertahankan undang-undang Islam.
Bukan sahaja yang sedia 'ala kadar' untuk melaksanakan beberapa peruntukan yang diberikan kepada Majlis Agama Islam Negeri, malah perlu diperjuangkan sehingga undang-undang Islam yang syumul dilaksanakan sepenuhnya di tanah air kita.
Akhbar secara besar-besaran melaporkan bahawa 'penggunaan undang-undang moral jaga individu ditolak.'
Media menonjolkan bahawa Jawatankuasa Kaukus Parlimen, sepakat bersama-sama dengan 50 kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lebih 200 individu serta puluhan Ahli Parlimen sepakat menolak undang-undang tersebut.
Alasan utama yang diberikan oleh mereka kerana, soal yang berkaitan dengan moral adalah hak setiap peribadi individu dan kewujudan undang-undang bagi mengawalnya dianggap melanggar prinsip hak asasi manusia.
Saya melihat perkara ini merupakan sesuatu yang serius apabila, perjuangan menentang undang moral didokongi bukan calang-calang orang, sedang berusaha gigih untuk mendesak pihak berwajib membatalkan undang-undang tersebut.
PAS bersama dengan umat Islam yang saya gelarkan sebagai pencinta-pencinta Islam menolak keras rancangan kumpulan tersebut dan akan berusaha mengambil berbagai pendekatan untuk menegakkan syariat Allah di bumi bertuah ini.
Malah, Harakah juga menyiarkan banyak rencana, berita dan sorotan yang mengajak kita semua umat Islam mendaulatkan syariat Allah yang sebenarnya, memperjuang dan mempertahankan undang-undang yang sedia ada, walaupun tidak menyeluruh dan tidak menggambarkan hukuman Islam yang sebenarnya (khasnya membabitkan peruntukan hudud yang tidak diambil, atau dilaksanakan).
Namun demikian, atas nama menjaga moral manusialah maka Allah SWT menurunkan agama-Nya, mengundang-undangkan syariat-Nya, bagi mengajak manusia sekelian menjadi hamba Allah yang sebenar, patuh kepada syariat-Nya.
Meskipun pada saat artikel ini ditulis belum ada suatu kenyataan yang serius daripada pihak pemerintah untuk menangani isu ini, sama ada kerajaan benar-benar hendak melaksanakan tuntutan syariat dengan melaksanakan undang-undang-Nya yang sebenar atau akan terikut-ikut dengan apa yang diperjuangankan oleh golongan yang tersebut tadi.
Saya merasakan amat penting untuk menyebut bahawasanya moral manusia perlu dikawal, dijaga dan diperbaiki melalui undang-undang. Undang-undang yang mampu dan boleh mengawalnya adalah undang-undang Allah SWT.
Jika masyarakat mengharapkan undang-undang ciptaan manusia atau undang-undang Islam yang telah diubahsuai mengikut kehendak Islam Hadhari atau oleh segelintir penggubal undang-undang yang diambil asas perundangan Barat, semua ini telah terbukti gagal mengawal dan memperbaiki akhlak manusia.
Malah semakin hari semakin jelas keruntuhan demi keruntuhan moral berlaku.
Oleh kerana itu maka Allah SWT mewahyukan agamanya kepada manusia yang tujuan besarnya adalah untuk menjaga asas pokok yang lima yang disebut sebagai 'maqasidus syairah' atau 'al-kulliyatul khamsah'.
Lima perkara pokok itu adalah pertama, menjaga agama; kedua, menjaga nyawa: ketiga menjaga akal; empat menjaga keturunan/moral dan kelima, menjaga harta benda.
Kelima-lima ini disebut sebagai 'maqasidus syairah' atau tujuan-tujuan asas syarak. Jika diteliti maka nescaya akan didapati bahawa kesemua lima perkara ini berkaitan dengan moral manusia.
Sama ada moral manusia sesama manusia, mahupun moral manusia dengan Allah, Tuhan yang menciptakan mereka.
Menjaga agama mestilah dengan undang-undang untuk mencegah daripada murtad atau dengan sewenang-wenang hendak merosakkan agama Islam dengan berpura-pura memeluk agama Islam. Terdapat juga mereka yang dengan sengaja melakukan sedemikian, kemudiannya mengisytiharnya dirinya murtad.
Jika perkara ini terus dibiarkan berlaku walaupun atas alasan 'ini adalah hak asasi manusia' sekalipun kita tidak harus melupakan 'hak asasi Allah kepada manusia'.
Sewaktu ketika dahulu berlaku senario pendek di mana sahabat besar Muaz bin Jabal menjadi pembonceng kepada kenderaan (kaldai) yang ditunggangi oleh Rasulullah s.a.w.
Dalam perjalanan tersebut Rasulullah bertanya kepada Muaz (yang mahfumnya), "Kamu tahu-kah Muaz, apakah hak Allah (hak asasi Allah) ke atas manusia? Muaz menjawab, "Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahui."
Lalu Rasulullah s.a.w menjelaskan,"Hak Allah ke atas hamba-Nya, iaitu hendaklah mereka mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak melakukan sebarang kesyirikan kepada-Nya."
Mengabdikan diri kepada Allah dan tidak mensyirikkan-Nya adalah dengan menghayati makna 'ubudiyyah' atau perhambaan sebenar kepada Allah SWT iaitu tidak melakukan perkara yang mencacatkan ke-Esaan, kekuasaan Allah, menghina agama Allah atau memperlekehkan undang-undang Allah!
Semuanya ini terkandung dalam makna menjaga agama dan ianya hendaklah ditangani dengan undang-undang untuk memelihara kesucian agama.
Begitu juga menjaga nyawa, harus wujud undang-undang untuk mencegah dan menghukum mereka yang disabitkan dengan kesalahan mencederakan, mengancam dan membunuh manusia dan sebagainya.
Justeru Islam menegaskan bahawa nyawa harus dibalas dengan nyawa iaitu disebutkan dengan Qisas, hak asasi orang yang dizalimi hanya boleh ditegakkan jika wujud undang-undang Allah.
Untuk menjaga akal, seharusnya juga wujud pengawalan supaya manusia tidak seharusnya melakukan tindakan yang menyanggahi kewarasan akal seperti larangan meminum minuman yang memabukkan atau pil-pil khayal. Ianya mesti dikawal dengan undang-undang yang telah dimaktubkan oleh Islam.
Moral manusia runtuh apabila mereka tidak menjaga keturunan, seperti berlakunya penzinaan secara berleluasa, pergaulan bebas dan hal-hal yang kebiasaannya membabitkan golongan remaja. Justeru Islam telahpun mempunyai garis panduan dan undang-undang yang menjaga kebaikan keturunan dan mempertahankan moral manusia.
Yang kelima iaitu menjada harta benda iaitu, Islam mewujudkan undang-undang melarang manusia mencuri, menipu atau rasuah dan sebagainya. Islam menjaga harta benda manusia terjaga dan selamat.
Jika undang-undang ini tidak dilaksanakan, manusia yang baik, mempunyai harta benda yang halal akan akhirnya menjadi mangsa pencuri, penyamun atau penipuan oleh penjenayah.
Oleh kerana itu Islam datang kepada manusia dengan menawarkan penjagaan kelima-lima perkara ini menerusi kekuatan undang-undang dan rapi demi kebaikan insan sejagat.
Justeru itu maka, saya menyeru supaya semua golongan yang sama ada terdiri daripada Raja-Raja Melayu, para mufti, alim ulama, pemimpin serta rakyat yang cintakan Islam supaya mengawasi usaha yang dibuat oleh beberapa golongan NGO termasuk orang perseorangan yang terus mencari penyokong serta pendesak baru akan terus bekerja sehingga cita-cita mereka berhasil.
Jika usaha mereka berhasil maka tersingkirlah undang-undang Islam! Terhakislah nilai-nilai murni Islam yang dilaksanakan di Malaysia. Apakah ini yang dikehendaki oleh Islam Hadhari? Apakah ini tidak menunjukkan suatu ketidakpekaan kerajaan dalam menjaga keutuhan Islam?
Maka pejuang-pejuang Islam mesti lebih tabah mempertahan Islam, undang-undang Islam, malah memperbaiki undang-undang yang sedia ada agar bertepatan dengan kehendak syarak yang sebenar.
Oleh Suhairul Hanim Hj Kamaruddin Di dalam Bahasa Melayu, istilah "*BANGANG*" merujuk kepada satu keadaan yang mana mempamerkan kebodohan pada diri seseorang yang amat susah untuk diperbaiki dan diubah.
Ini kerana jika seseorang itu bodoh, maka dengan belajar daripada kesilapan sendiri pastinya dia boleh menjadi pandai. Seperti peribahasa Melayu, "belakang parang jika diasah selalu pastinya akan menjadi tajam".
Isu "*BANGANG*" ini ditimbulkan hasil analisa peribadi saya terhadap pemikiran dan tindakan majoriti rakyat Malaysia. Walaupun setelah berkali-kail ditipu dan dibuli, namun rakyat Malaysia masih lagi sanggup mem'*BANGANG*'kan diri mereka dan tidak bertindak balas. Sebagai contoh, seorang budak sekolah kalau setiap hari asyik dibuli orang, tetapi tidak berani melawan, pastinya budak tersebut memang "*BANGANG*".
Sebelum pilihanraya, pelbagai janji manis (tipu-tipu) yang ditaburkan oleh pihak Barisan Nasional dalam memancing undi seluruh rakyat Malaysia. Ramai yang terpengaruh dengan janji manis (tipu-tipu) ini dan seterusnya memberikan undi besar kepada Barisan Nasional. Malah undi untuk wakil rakyat bertaraf menteri "*BANGANG*" seperti Dato' Seri Lim Kheng Yik dan Dato' Seri S. Samy Vellu juga meningkat dengan besar.
Kenapakah majoriti rakyat Malaysia yang "*BANGANG*" ini sanggup untuk di"*BANGANG*"kan oleh wakil rakyat (bertaraf menteri) ini yang sememangnya terkenal sebagai wakil rakyat "*BANGANG*". Mungkin juga ianya disebabkan kerana hanya orang "*BANGANG*" sahaja yang akan memilih pemimpin yang "*BANGANG*". Itulah masaalahnya kalau jadi orang "*BANGANG*".
Jadi kerana orang "*BANGANG*" ini memilih menteri yang "*BANGANG*" (termasuklah Perdana Menteri yang bacul) maka terjadilah isu-isu seperti "Keluarkan agama daripada institusi sekolah" yang disuarakan oleh menteri "*BANGANG*" (Dato' Seri Lim Kheng Yik), isu kerosakan bangunan Parlimen Malaysia setelah diubahsuai sebanyak 60/85 juta (yang mana satu betul) dan juga isu-isu kenaikan harga minyak serta isu sosej haram (menggunakan usus babi) yang boleh menjadi halal.
Hanya orang yang "*BANGANG*" sahaja yang boleh menerima kenaikan harga minyak petrol dan diesel ini dan menganggapnya sebagai satu alasan kukuh untuk mengekang aktiviti penyangak diesel (alasan paling "*BANGANG*").
Bukankah kita boleh mengekang aktiviti penyangak diesel ini dengan mengukuhkan dan memperhebatkan penguatkuasaan? Malah ada timbalan menteri "*BANGANG*" (Dato Shapie Apdal) yang mengatakan bahawa penguatkuasaan tidak mampu diperhebatkan kerana kekurangan anggota. Memang ini satu jawapan yang boleh diklasifikasikan sebagai jawapan "*BANGANG*".
Namun jawapan daripada menteri "*BANGANG*" (Datuk Seri Najib Razak) yang menyatakan bahawa inilah cara terbaik untuk mengajar semua penyangak diesel.Daripada jawapan menteri "*BANGANG*" (Dato' Seri Najib Razak) ini menunjukkan bahawa semua rakyat Malaysia sebenarnya adalah penyangak diesel. Malah jawapan ini menjadi satu titik tolak yang utama didalam menjustifikasikan isu kenaikan harga bahan bakar oleh media-media "*BANGANG*" termasuklah media cetak dan elektronik milik Kerajaan dan swasta. Malah menteri "*BANGANG*" ini juga berani mengugut untuk menaikkan harga bahan bakar ini jika masih terdapat aktiviti penyangak diesel.
Inilah satu-satunya jawapan paling "*BANGANG*" yang pernah saya dengar. Dan saya amat berharap kepada semua rakyat Malaysia yang merasakan diri mereka tidak "*BANGANG*" (bijak) agar bersedia untuk mengubah situasi ini dengan menyingkirkan mana-mana menteri dan wakil rakyat yang "*BANGANG*" dan memastikan bahawa mana-mana pengundi "*BANGANG*" tidak dapat memilih wakil rakyat "*BANGANG*" ini lagi.
Kerana ke"*BANGANG*"an inilah yang menyebabkan politik wang itu tidak disamakan dengan rasuah. Kerana ke"*BANGANG*"an inilah juga yang menyebabkan BRP tidak berupaya menyiasat aktiviti rasuah yang amat berleluasa di Malaysia. Kerana ke"*BANGANG*"an inilah juga yang menyebabkan SPR dan Barisan Nasional berjaya melakukan "*MAGIC*" sehingga keputusan pilihanraya memihak kepada Barisan Nasional.
Pastikan pilihanraya akan datang jangan menjadi satu pilihanraya paling "*BANGANG*" yang pernah diadakan.