Bantah FTA
Ambil iktibar kes Kanada, Mexico
TAN Sri Adam Kadir dalam
tulisannya yang disiarkan dalam Utusan Malaysia kelmarin mengemukakan
alasan-alasan bagi menyokong keperluan untuk FTA dengan AS termasuk
supaya Malaysia tidak ketinggalan dalam dunia perdagangan tanpa
sempadan (borderless trade).
Saya tidak setuju dengan alasan sedemikian yang tidak meneliti dan
mengkaji dengan mendalam perjanjian-perjanjian bebas AS dengan
negara-negara yang merupakan ‘template’ bagi Malaysia.
Beberapa persoalan di sini adalah perjanjian FTA akan membawa impak
negatif kepada beberapa sektor dalam negara kita dan adakah kajian
terperinci telah dibuat tentang sektor-sektor yang akan terlibat dan
langkah yang akan diambil untuk melindungi sektor-sektor tersebut?
Lebih penting lagi, di mana kajian kos faedah yang dikatakan telah
dilakukan oleh kementerian terbabit? Tidakkah rakyat berhak mengetahui
butir-butir kajian tersebut.
Pesaing
Seperti mana yang dinyatakan dalam rencana Tan Sri, orang ramai
perlu memainkan peranan dalam memberi pendapat tetapi di mana usaha
untuk memastikan bahawa rakyat mengetahui dengan sepenuhnya tentang
faedah atau kos perjanjian yang dicadangkan tersebut?
Sekiranya perjanjian FTA tersebut adalah begitu perlu untuk
memastikan penglibatan Malaysia sebagai pesaing yang substantial di
pentas dunia, mengapakah negara seperti Switzerland, Lesotho, Botswana,
Namibia, Afrika Selatan, Swaziland, Argentina, Bolivia, Brazil,
Paraguay, Uruguay, Venezuela telah menghentikan rundingan FTA dengan
AS?
Walaupun autonomi negara ketika ini boleh dipastikan dengan
mendirikan polisi awam, tetapi dengan adanya FTA, apa-apa pengubahan
yang dibuat kepada polisi ini mungkin dianggap sebagai expropriation
dan satu pengingkaran perjanjian tersebut.
Seterusnya, adakah pertimbangan terperinci telah diberi oleh Jabatan
Peguam Negara tentang peruntukan-peruntukan investor-state yang memberi
hak kepada mana-mana pelabur Amerika untuk menghadapkan kerajaan kita
di tribunal antarabangsa (tanpa terikat kepada undang-undang tempatan)
sekiranya menganggap bahawa pelaburan terjejas akibat apa-apa
pengubahan polisi atau undang-undang negara?
Sebagai seorang peguam, saya telah meneliti perkembangan kes-kes
yang di bawah perjanjian NAFTA (iaitu FTA Amerika yang pertama yang
ditandatangani di antara Amerika, Kanada dan Mexico) dengan perasaan
bimbang yang semakin meningkat.
Satu kes yang relevan kepada Pos Malaysia Berhad adalah kes UPS vs
Kanada. Secara ringkasnya, UPS (satu syarikat AS) telah berhujah bahawa
infrastruktur Canada Post sebagai pembekal perkhidmatan pos awam
Persekutuan mengingkari perjanjian NAFTA kerana infrastruktur tersebut
memberi status monopoli yang istimewa kepada Canada Post dalam bidang
perkhidmatan kurier dan bungkusan yang bukan satu sektor monopoli.
Kes ini masih berjalan di hadapan tribunal antarabangsa.
Akhir sekali dalam apa-apa keadaan pun, ia adalah jelas bahawa
pertimbangan terperinci setiap peruntukkan dalam FTA adalah perlu dan
pertimbangan tersebut harus dilakukan dengan cara terperinci tanpa
tergesa-gesa.
Demi kepentingan awam, adalah lebih baik kerajaan tidak meneruskan FTA.
– KARINA YONG,
Kuala Lumpur.
Anjakan baru hadapi cabaran
OLEH kerana kerajaan masih
menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, maka sektor ini
merupakan lombong emas utama kepada pembekal-pembekal farmasi dari
dalam atau luar negara.
Di dalam perjanjian FTA, Amerika Syarikat menuntut hak pelindungan
paten lebih diperkukuhkan dari segi tempoh dan syarat-syarat lain yang
membolehkan mereka bersaing dengan industri tempatan berdasarkan mutu
dan perkhidmatan.
Saya sangat bersimpati dengan industri tempatan kerana di situlah
terdapatnya ramai teman dan kawan seperjuangan bertugas siang dan malam
untuk mengeluarkan ubat-ubat yang dikatakan lebih murah daripada
pengeluar pemegang paten asal.
Dari pengalaman saya, apabila satu ubat dari pengeluar syarikat
multinasional sudah hilang tempoh patennya yang pada kebetulan sudah
mencapai satu tahap harga yang tinggi, maka akan muncullah satu produk
generik yang menawarkan harga rendah, walaupun bukan murah dan
kadang-kadang tidak jauh dari harga pertama produk paten dilancarkan.
Beralah
Apabila masa berlalu, syarikat multinasional akhirnya terpaksa
beralah dengan menurunkan sedikit harganya, malah ada harga ubat dari
pengeluar asal yang lebih rendah dari produk generik.
Malangnya, pengeluar produk-produk generik tidak pula menunjukkan
sifat berhemah ini, malah ada yang menaikkan harga mereka pada setiap
tahun.
Pada pandangan saya, apabila FTA memanjangkan tempoh paten produk
ubat baru, bererti syarikat tempatan terpaksa menunggu masa lebih lama
untuk melakukan proses fotokopi di dalam mengeluarkan produk-produk
generik, maka ia harus mencetuskan satu anjakan baru kepada industri
farmasi tempatan.
Cabaran ini harus disambut dengan mengubah corak industri kepada
membangunkan bahan kimia baru melalui aktiviti penyelidikan dan
pembangunan.
Kita bukan tertinggal ke belakang untuk bersaing dengan syarikat
multinasional melalui kaedah penyelidikan. Buat peringkat permulaan,
bantuan kerajaan diperlukan melalui pemberian geran penyelidikan.
Kita sepatutnya sudah bersedia untuk mengambil pendekatan baru bagi
menghadapi cabaran-cabaran yang lebih getir di masa ini dan masa
hadapan.
– YUSOF HUSSIN,
Kuala Lumpur.
Ambil kira pandangan rakyat
KITA harus berunding untuk
menang-menang dan tugas berat tersebut tentunya terletak kepada Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan juga Menteri Luar serta pegawai-pegawai
mereka agar ia kelak tidak menjejaskan secara drastik kepentingan
negara dan rakyat sama ada dari aspek politik, ekonomi dan kewangan.
Isu ini harus ditangani dengan hati-hati kerana sebarang tekanan
yang diberi oleh kuasa besar itu tidak harus dituruti dengan sikap
mengalah dan tidak apa.
Kita harus lihat kesan FTA kepada negara dan rakyat Malaysia keseluruhan dan dalam jangka panjang.
Saya mengesyorkan, apa jua butiran perundingan dihebahkan kepada
media massa dan didebatkan secara terbuka supaya rakyat dapat menilai
dan memberi maklum balas segera.
Sebaiknya forum yang terbaik selepas media massa ialah Parlimen
Malaysia kerana di situ berhimpun para wakil rakyat sama ada daripada
kerajaan mahupun pembangkang.
Kita sesungguhnya boleh terus berunding selagi ia tidak menjejas kepentingan negara dan rakyat.
– NASERON ISMAIL,
Yayasan Rangkaian Sahabat.
|