MEMORANDUM
PEMUDA BA - GERAK - IMPAK
KEPADA
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Pemuda Barisan
Alternatif (BA),
Gerakan
Demokrasi dan anti Korupsi (GERAK) & Institut Pengembelingan
dan Pembangunan
Komuniti (IMPAK)
MEMORANDUM
BANTAHAN
Kepada :-
YAB. Dato’
Seri Abdullah Ahmad
Perdana
Menteri Malaysia
Pemuda Barisan
Alternatif (BA), Gerakan Demokrasi dan anti Korupsi (GERAK) & Institut
Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK) memandang serius pendedahan
yang dibuat oleh Gerakan Demokrasi & Anti Korupsi (GERAK) pada 26 Februari
2007 yang lepas, di mana pendedahan tersebut berikut satu tuduhan serius
yang membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Pengarah Badan Pencegah
Rasuah (BPR), Dato’ Seri Zulkipli Mat Noor.
Pendedahan yang
dibuat hasil daripada satu laporan yang dibuat kepada mantan Ketua Polis
Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar oleh pegawai kanan BPR sendiri, iaitu Mohamad
Ramli Manan memberikan satu gambaran yang amat jelas betapa komitmen Perdana
Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang menjadi anutan tadbirurus
kerajaan iaitu untuk menghapuskan amalan rasuah dan birokrasi kian terhakis.
Dalam keadaan pelbagai kemelut pentadbiran yang dibelenggu permasalahan
rasuah dan etika pentadbiran melingkari pentadbiran kerajaan hari ini,
pendedahan terbaru oleh GERAK ini adalah ibarat menambah bebanan kerajaan
untuk terus memperbetulkan keadaan yang kian parah dan jelek, sekaligus
memalitkan imej dan akauntabiliti kerajaan yang gah dengan slogan akauntabiliti
dan prinsip Islam Hadhari.
Ini ditambah
lagi dengan pendedahan terbaru mengenai salah laku yang membabitkan Timbalan
Menteri Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, iaitu Datuk Mohd Johari Baharum
yang didakwa menerima sogokan lebih daripada RM5 Juta sebagai habuan untuk
membebaskan beberapa penjenayah yang terlibat dengan beberapa jenayah berat.
3 kes yang didakwa ke atas Johari adalah:
i. Di dakwa
berlaku pada Januari tahun ini apabila Johari dituduh mengarahkan pembebasan
seorang ketua penjenayah di Perak, yang mana ketua penjenayah ini adalah
merupakan adik kepada seorang lagi Timbalan Menteri;
ii. Mengeluarkan
arahan pembebasan oleh seorang suspek yang disabit atas perjudian haram
di Sabah pada bulan Februari lepas. Pendedahan yang dibuat oleh freewebs.com
mendakwa Johari dirasuah RM3 juta untuk mengeluarkan arahan tersebut; dan
iii. Jaminan
pembebasan seorang ketua penjenayah di Perak selepas penjenayah terbabit
menyelesaikan dengan Johari dengan sejumlah wang tidak kurang daripada
RM2.5 juta.
Dakwaan dan
tuduhan yang dibuat ke atas Johari ini adalah amat berat dan memalukan,
kerana ini sedikit sebanyak menunjukkan yang Johari telah melakukan pecah
amanah ke atas Perdana Menteri sendiri yang juga merupakan Menteri Keselamatan
Dalam Negeri. Ini juga membuktikan yang Perdana Menteri seolah-olah hilang
kawalan apabila beliau tidak maklum dengan masalah yang dilakukan oleh
timbalan beliau sendiri!
Apa yang dilihat
oleh kami, Perdana Menteri perlu mengambil tindakan segera dengan menggantung
jawatan Ketua Pengarah BPR untuk melicinkan proses siasatan agar dengan
inisiatif ini boleh mewujudkan elemen kepercayaan dan integriti di kalangan
penjawat awam di Malaysia.
Meskipun beberapa
pimpinan Umno/BN berpendapat bahawa adalah tidak wajar bagi Johari untuk
melepaskan jawatannya atas alas an ‘man is innocent until proven guilty’,
tetapi mengikut prosedur amalan biasa kerajaan, khususnya di dalam kes
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998, beliau telah dipecat daripada
parti dan Kerajaan meskipun pada ketika itu kes beliau baru di peringkat
pertuduhan, malahan tidak pun dibawa ke mahkamah lagi pada ketika tu. Justeru
apakah rasional pihak kerajaan untuk tidak mengambil tindakan yang serupa
ke atas Johari dan Zulkipli yang kes kedua mereka ini adalah jauh lebih
berisiko dan berat berbanding kes Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Atas kapasiti
sayap pemuda keADILan dan PAS, GERAK & IMPAK, kami mendesak Perdana
Menteri, demi kepentingan negara dan demi membersihkan imej Perdana Menteri
dan Kerajaan, supaya:
(i)
Perdana Menteri perlu mewujudkan sebuah Suruhanjaya Bebas Penambahbaikan
BPR untuk menyiasat kepincangan yang berlaku di dalam BPR itu sendiri dan
juga menyiasat Standard Operation Procedure (SOP) di mana wujud kepincangan
dalam sesuatu siasatan yang dijalankan oleh BPR;
(ii) BPR
wajar diletakkan di bawah seliaan Parlimen Malaysia, bukan di bawah Jabatan
Perdana Menteri untuk menjamin ketelusan penyiasatan BPR ke atas sesuatu
kes, khususnya kes-kes berprofil tinggi demi menjamin integriti BPR sebagai
sebuah badan yang berwibawa;
(iii) Kerajaan
dengan segera memulakan siasatan terhadap tuduhan – tuduhan yang ditimbulkan
oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang telah mendedahkan berkenaan pembelian
18 pesawat Sukhoi Su-30MK oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Najib
Tun Razak bernilai US$900 juta (RM3.2 bilion) yang menimbulkan persoalan
serius mengenai integriti dan ketelusan urusniaga tersebut
(iv) Kerajaan
mengumumkan hasil siasatan 18 kes rasuah berprofil tinggi sebagaimana yang
pernah diwar-warkan oleh Datuk Seri Utama Rais Yatim. Meskipun beliau tidak
lagi menjawat portfolio Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, adalah menjadi
kewajipan kerajaan atas kapasiti ‘collective responsibility’ untuk mendedahkan
hasil siasatan kes-kes tersebut agar ia boleh memberi penjelasan yang sahih
dan mutlak kepada rakyat agar tidak menimbulkan pelbagai spekulasi atas
akauntabiliti kerajaan; dan
(v) Status
kes Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan juga Dato’ Seri Rafizah Abdul Aziz
didedahkan kepada umum setelah sekian lamanya diperam oleh Kerajaan dan
BPR.
Kami mendesak
agar bantahan ini dipandang serius.
6 Mac 2007
YB. SALAHUDDIN
HAJI AYUB
Ketua Dewan
Pemuda PAS Pusat
SHAMSUL ISKANDAR
MD AKIN
Pemangku Ketua
Angkatan Muda PKR
MOHAMED EZAM
MOHD NOR
Pengerusi Gerakan
Demokrasi dan anti Korupsi (GERAK)
HAJI MAHFUZ
OMAR
Pengerusi Institut
Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK)
|